Ilmu Faraid ialah ilmu yang menerangkan cara pembahagian harta pusaka kepada anggota waris si mati mengikut ketentuan-ketentuan Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W.
Apa yang dimaksudkan dengan Harta Pusaka ?
Harta Pusaka
Harta pusaka ialah peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia, baik berupa wang, harta benda atau hak-hak atau apapun aset yang mempunyai nilai kebendaan, yang dibenarkan syariat untuk dipusakai oleh ahli waris. Ini sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu hak atau harta, maka hak atau harta itu adalah untuk ahli warisnya setelah kematiannya"
Berapa jeniskah harta yang boleh dikategorikan sebagai harta pusaka?
Jenis-jenis Harta Pusaka
Termasuk sebagai harta pusaka si mati adalah :
Harta benda yang bersifat tetap seperti bangunan, tanah, ladang dan seumpamanya.
Harta benda yang bersifat tidak tetap atau boleh bergerak seperti wang tunai, saham, barang-barang kemas, peralatan, kenderaan, pakaian dan seumpamanya.
Hutang-hutang orang kepada si mati.
Harta benda yang telah digadaikan oleh si mati dan boleh ditebus semula.
Harta benda yang telah dibeli oleh se mati semasa hayatnya berupa sesuatu pembelian yang telah dibayar wangnya tetapi belum diterima barangnya.
Mas kahwin yang masih belum diserahkan kepada isteri sehingga isteri meninggal dunia.
Harta-harta lain seperti wang simpanan, wang CPF, saham-saham, saham-saham amanah (Unit Trust),bon, insurance dan seumpamanya yang dibolehkan syarak.
Harta benda yang tersebut tadi sama ada berada di dalam dan di luar tempat tinggal si mati.
Lain-lain aset yang mempunyai nilai kebendaan.
Siapakah yang boleh disifatkan sebagai para ahli waris?
Para Ahli Waris
Para ahli waris ialah orang yang berhak mewarisi harta pusaka si mati berdasarkan hubungan berikut dengan si mati :
Kekeluargaan (nasab)
Perkahwinan
Perhubungan perhambaan (sudah tidak wujud di zaman ini)
Dari manakah sumber dan hukum mengenai Ilmu Faraid?
Sumber-sumber hukum dan Ilmu Faraid
Hukum dan Ilmu faraid adalah berdasarkan kepada sumber serta dalil yang tidak boleh diragukan. Dalil-dalilnya adalah seperti berikut :
Al Quran
Surah An-Nissa’ , ayat 11 yang bermaksud :
"Allah telah mensyariatkan bagimu tentang ( pembahagian pusaka untuk ) anak-anakmu, iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan , dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan, jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh setengah harta ( dari seluruh harta warisan ). Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak. Tetapi jika orang yang meninggal itu tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga, jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfa’atnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Hadis
Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yang berhak. Sesudah itu sisanya untuk orang laki-laki yang lebih utama". (Riwayat Bukhari – Muslim )
Ijmak dan Ijtihad para sahabat, imam-imam mazhad dan mujtahid-mujtahid yang terbukti ilmunya.
Sebahagian besar daripada hukum faraid dan peruntukan pembahagian kepada anggota waris telah ditetapkan oleh Al Quran. Hanya sebahagian kecil sahaja yang ditentukan berdasarkan Sunnah (hadis) dan Ijma’.
Di dalam hukum Ilmu Faraid terdapat hak-hak si mati yang bersangkutan dengan harta pusaka yang ditinggalkan. Hak-hak ini haruslah dilaksanakan oleh pewaris. Apakah susunan hak yang harus disempurnakan?
Susunan hak ke atas harta pusaka
Apabila seseorang itu meninggal, adalah wajib bagi yang masih hidup menyempurnakan lima hak si mati menurut susunan (tertib) sebagaimana di bawah ini :
Hutang Yang Bersangkutan Dengan Harta Tersebut
Ia bermaksud segala hutang si mati yang bersangkutan dengan harta peninggalan tersebut, seperti zakat, pembayaran pelbagai kaffarah (tebusan) seperti kaffarah sumpah,dzihar, jimak keteika dalam ibadat puasa Ramadan atau dalam ihram haji atau umrah, membunuh nyawa dan sebagainya.
Biaya Pengurusan Si Mati
Segala pembiayaan yang diperlukan untuk mengurus jenazah daripada saat ia meninggal dunia sampai dikuburkan. Ini termasuk memandikan, mengapankan, mengusung dan menguburkannya dengan penuh kesederhanaan.
Hutang Yang Bersangkutan Dengan Tanggungan Si Mati
Kewajipan utama bagi ahli waris ialah melunasi segala hutang si mati untuk membebaskan pertanggungjawabannya di akhirat nanti.
Termasuk dalam hutang ini, menghajikan si mati (jika si mati belum menunaikan haji), hutang mas kahwin yang belum dilunaskan dan hutang kepada manusia.
Walaupun si mati ada meninggalkan wasiat, melunaskan hutangnya hendaklah didahulukan daripada wasiatnya.
Melaksanakan Wasiat Si Mati
Wasiat adalah untuk bukan ahli waris. Ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud "Sesungguhnya Allah telah memberikan hak kepada yang punya hak, maka tidak ada wasiat untuk ahli waris"
Wasiat pula tidak boleh melebihi sepertiga (yakni 1/3 dari baki harta pusaka setelah dikeluarkan untuk perkara i -iii , ini bersesuaian dengan hadis yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah s.w.t telah menganjurkan kamu bersedekan dengan sepertiga harta kamu di kala kamu meninggal dunia (dengan jalan wasiat) sebagai tambahan kepada amal baik kamu". Hadith Riwayat Bukhari.
Para waris berhak terhadap baki daripada harta si mati setelah dibahagikan
untuk pihak I) – V) di atas.
Sedikit mana sekalipun baki harta si mati, ia tetap menjadi hak setiap warisnya. Justeru itu ia mesti dibahagikan mengikut peraturan Allah kecuali ada waris yang tidak mahu haknya.
Jika ada waris yang tidak berada di dalam negeri atau hilang, maka bahagiannya mesti disimpan untuk diberikan setelah ia kembali.
Merahsiakan harta pusaka si mati daripada ahli waris yang berhak adalah satu penipuan. Ia adalah perbuatan yang haram dan zalim. Ahli waris yang terlibat dalam perkara ini, secara langsung atau tidak langsung atau bersubahat, akan bertanggungjawab terhadap Allah swt di dunia dan akhirat kelak.
Sebagai orang Islam, kita tidak boleh membahagikan harta mengikut tatacara atau adat sesebuah negara dengan mengabaikan perintah Allah swt.
Siapa yang tergolong sebagai Ahli Waris ?
Ahli Waris Lelaki
Golongan Ahli Waris lelaki adalah seperti berikut :
Anak lelaki
Cucu lelaki dari anak lelaki
Bapa
Datuk sebelah bapa ke atas
Saudara sekandung
Saudara seayah
Saudara seibu
Anak lelaki dari saudara sekandung
Anak lelaki dari saudra se ayah
Bapa saudara (sebelah ayah) yang sekandung dengan ayah si mati.
Bapa saudara (sebelah ayah) yang sebapa dengan ayah si mati.
Anak lelaki daripada bapa saudara sekandung (sebelah ayah).
Anak lelaki daripada bapa saudara sebapa (sebelah ayah)
Suami
Tuan yang memerdekakan hamba
Ahli Waris Perempuan
Golongan Ahli waris perempuan adalah seperti berikut :
Anak perempuan
Cucu perempuan dari anak lelaki dan terus ke bawah
Ibu
Nenek sebelah bapa dan ke atas
Nenek sebelah ibu dan ke atas
Saudara perempuan sekandung
Saudara perempuan sebapa
Saudara perempuan seibu
Isteri
Wanita yang memerdekakan hamba
Apakah yang dimaksudkan dengan Baitulmal dan apakah fungsinya dalam hal yang bersangkutan dengan harta pusaka?
Baitulmal
Baitulmal adalah lembaga atau institusi yang berfungsi sebagai pengamanah perbendaharaan awam bagi orang Islam. Ia mengendalikan aset yang bertujuan untuk maslahat umum. Di Singapura, Baitulmal ditadbir oleh Majlis Ugama Islam Singapura.
Harta peninggalan si mati akan menjadi hak Baitulmal dalam keadaan-keadaan berikut :
Tiada ahli waris yang berhak menerimanya.
Ahli waris telah menerima bahagian masing-masing tetapi masih terdapat baki harta pusaka.
Harta si mati yang tidak dituntut oleh sesiapa.
Tiada ahli waris langsung.
Apakah hikmah yang terdapat di sebalik Hukum Faraid?
Hikmah Di Sebalik Hukum Faraid
Hukum Faraid ditetapkan Allah dalam Al Quran dengan begitu terperinci. Masyarakat Islam dalam keadaan bagaimanapun, mesti berpegang teguh dengan apa yang telah ditetapkan Allah.
Allah telah menentukan hak-hak perwarisan berdasarkan tanggungjawab ke atas lelaki dan wanita. Ia telah secara adail dan sistematik memilih ahli waris mengambil hak-hak yang telah diberikan kepada mereka ( si mati).
Dalam sistem sosial Islam, wanita tidak diwajibkan bekerja untuk keperluan kehidupannya. Lelaki di dalam keluarganya dipertanggungjawabkan untuk mencari mata pencarian dan memberikan keluarga wanitanya keperluan asas kehidupan.
Begitu juga apabila wanita berkahwin, ia menerima mas kahwin yang ia sendiri tentukan. Ia mempunyai hak mutlak untuk menentukan bagaimana mas kahwin itu harus digunakan. Lelaki sebagai suami yang memberinya mas kahwin itu.
Mengambil kira kedua-dua contoh tersebut di mana wanita diberi kelebihan perlindungan oleh lelaki, maka jelas golongan wanita telah ditentukan bahagian mereka yang adil.
Apakah itu nazar harta?
Nazar Harta
Nazar harta ialah niat oleh pemilik kepada Allah swt, untuk melakukan sesuatu terhadap hartanya. Pemilik harta boleh melakukan niat itu untuk dilaksanakan sama ada semasa hayatnya mahupun setelah mati. Syarat-syarat nazar harta semasa meniatkannya ialah :
Sihat
Berakal
Telah cukup umur ( akil baligh )
Disaksikan oleh dua saksi lelaki atau seorang saksi lelaki berserta sumpah pemilik harta.
Perempuan tidak dibolehkan menjadi saksi walau bagaimana ramai sekalipun bilangannya. Nazar harta ( juga wasiat ) yang diniatkan ( ditulis) melalui surat tanpa saksi hidup, tidak akan berkuatkuasa dari segi agama.
Nazar yang bersifat makruh dan haram tidak boleh dilaksanakan. Setiap nazar adalah untuk orang-orang yang di sebut dalam nazar tersebut sahaja.
Apakah itu Hibah?
Hibah ( Pemberian )
Selain daripada nazar dan wasiat, pemilik harta boleh juga memberi sesuatu atau sebahagian daripada hartanya kepada seseorang sebagai hibah atau hadiah semasa ia masih hidup.
Apakah yang dimaksudkan dengan sijil warisan?
Sijil Warisan
Sijil warisan adalah sijil di mana bahagian waris masing-masing akan tertera di sijil itu. Sijil ini diperlukan untuk mentadbirkan harta peninggalan oleh para waris.
Di Singapura, Sijil Warisan dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Sijil ini diberikan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pemohonnya dengan mengisi borang yang disediakan oleh Mahkamah Syariah. sijil warisan?
Cara Memohon Sijil Warisan
Ahli waris boleh memohon Sijil Warisan di Mahkamah Syariah, pemohonan boleh dibuat pada waktu-waktu pejabat dengan membawa dokumen-dokumen berikut :
Kad pengenalan Ahli Waris yang memohon
Salinan sijil kematian
Salinan kad pengenalan setiap ahli-ahli waris atau salinan sijil lahir mereka atau nama dan nobor kad pengenalan/sijil lahir mereka.
Pihak Mahkamah Syariah akan mengeluarkan Sijil Warisan dalam waktu 1 (satu) minggu setelah pemohonan dibuat.
Apakah bidang kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah?
Bidang Kuasa Mahkamah Syariah
Mahkamah Syariah Singapura diberi hak dan bidang kuasa untuk menentukan cara pembagian harta pusaka kepada ahli waris menurut hukum Islam sebagaimana yang terkandong dalam fasal 112 dan 115 mengikut undang-undang Pentadbiran Hukum Islam ( AMLA ).
Apakah fungsi lelaman Faraid yang disediakan?
Lelaman Faraid
Lelaman ini disediakan bertujuan memberikan infomasi kepada para ahli waris khususnya dan masyarakat Islam pada umumnya dalam menanggani isu-isu berhubung dengan pembahagian harta pusaka menurut hukum Islam. Qaidah pembahagian harta yang terdapat di dalam lelaman ini berpandu pada mazhab Syafie.
Setiap pengujung dibenarkan untuk mencoba qaidah pembahagian harta di lelaman ini, tetapi apa jua natijah atau jawapan yang diperolehinya tidak boleh dijadikan hukum melainkan dengan pengesahan dari Pihak Mahkamah Syariah.
No comments:
Post a Comment